PETALING JAYA: Kes-kes memandu secara melawan arus bagaikan menjadi trend dan terbaharu kini banyak membabitkan pemandu p-hailing yang menunggang motosikal bagi mengejar trip sehingga sanggup menggadai nyawa.
Selain itu, kejadian itu juga ada yang berpunca daripada pemandu bagi semua jenis kenderaan yang nyanyuk, mengikut aplikasi tunjuk arah, bermain telefon manakala sebahagian lagi kerana mabuk atau khayal angkara dadah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kasim Karim berkata, kes-kes memandu melawan arus banyak berlaku di jalan-jalan negeri dan bandaran kerana di lokasi tersebut pemandu boleh melakukan sesuka hati berbanding kejadian di lebuh raya yang diletakkan penghadang.
Menurut beliau, daripada siasat kenderaan dipandu oleh warga emas turut menyumbang berlakunya kejadian memandu lawan arus disebabkan faktor kesihatan seperti mereka nyanyuk dan cepat lupa.
Kata beliau, faktor lain apabila pemandu tanpa mengira umur memandu dalam keadaan tidak fokus atau keliru dengan arah aliran kenderaan selain menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah.
“Berdasarkan statistik, sebanyak 1,627 kes pandu lawan arus direkodkan sejak 2019 sehingga November lalu.
“Daripada jumlah itu, kes paling tinggi dilaporkan pada tahun lalu iaitu sebanyak 678 kes diikuti 2019 (564 kes) selain 385 kes lagi dilaporkan Januari hingga November lalu,” katanya di sini semalam.
Mat Kassim memberitahu, sikap sebegini bukan sahaja berbahaya kepada diri pemandu itu sendiri malah kepada pengguna jalan raya lain.
Daripada statistik, kata beliau, kejadian memandu lawan arus bagaikan trend terutamanya melibatkan penunggang motosikal p-hailing yang mencari jalan pintas tanpa fikir keselamatan diri dan orang lain.
“Sejak khidmat hantar makanan atau barangan berkembang, kumpulan p-hailing banyak dikesan menunggang motosikal melawan arus bagi mempercepatkan penghantaran kepada pelanggan,” kata beliau.
Bagaimanapun, jelas Mat Kassim, dalam tempoh tersebut, pemandu kereta paling ramai disaman kerana tidak patuh tunjuk arah trafik iaitu memandu secara bertentangan apabila sebanyak 719 kes direkodkan dalam tempoh sama.
“Selain itu, sebanyak 718 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal diikuti kenderaan pacuan empat roda (4WD) iaitu 104 saman selain lori (60 saman), van (18 saman) lain-lain kenderaan (enam saman) dan bas (empat saman) kerana memandu lawan arus” jelasnya.
Justeru, kata beliau, pihaknya mencadangkan agar surat pengesahan doktor seperti mata dan keupayaan berfikir diwajibkan buat warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang mahu memperbaharui lesen.
Selain itu, pindaan undang-undang untuk meningkatkan kadar denda maksimum serta tempoh penjara wajib, terutama berkaitan pemanduan melawan arus atau tidak ikut arah lalu lintas terutama pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah perlu lebih berat.
“Pendidikan dan kempen keselamatan di semua peringkat akan terus dipergiatkan selain penguatkuasaan undang-undang yang tegas kepada mereka yang dikesan melakukan kesalahan ini,” katanya.
Terbaharu, kes memandu melawan arus yang menarik perhatian ramai direkodkan polis ialah melibatkan kejadian sebuah van di Jambatan Pulau Pinang, pada 6 Disember lalu.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu tular selepas dirakam menggunakan kamera papan pemuka sebuah kenderaan orang awam apabila sebuah kenderaan cuba mengelak van berkenaan. -UTUSAN ONLINE