ALOR SETAR: Seorang lelaki yang mengamuk dan memecahkan cermin kereta isterinya di Jalan Teluk Wanjah di sini pada Isnin lalu ditahan polis pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada wanita berusia 24 tahun itu pada pukul 10.37 pagi.
Katanya, mangsa yang bekerja sebagai kerani mendakwa ketika kejadian dia memandu kereta Perodua Axia sebelum menyedari diekori suaminya yang berusia 30 tahun di Lorong Panglima Jalan Teluk Wanjah di sini.
“Suspek pada masa itu menunggang motosikal jenis Honda Wave dan dia seterusnya bertindak menahan kereta mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, suspek kemudian bertindak mengetuk cermin sebelah penumpang hadapan beberapa kali dan menyuruh mangsa membuka tingkap dengan alasan mahu memberikan wang kepada anak mangsa.
“Mangsa kemudian membuka sedikit cermin kereta, namun, secara tiba-tiba suspek merentap cermin berkenaan sehingga pecah dan tercabut.
“Serpihan kaca telah terkena pada anak mangsa sehingga menyebabkannya terkejut,” ujarnya.
Kata beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran rumah mangsa yang tidak dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV).
“Bagaimanapun kejadian sempat dirakam mangsa dengan telefon bimbit miliknya,” jelasnya.
Tambahnya, suspek telah ditahan pada hari kejadian dan hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.
“Suspek direman selama empat hari bermula semalam dengan kes disiasat di bawah Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE