KLANG: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, Pandamaran di sini, menjadi sasaran penjenayah apabila dipecah masuk selepas banjir surut di kawasan itu, Isnin lalu.
Selain pusat itu, dua lagi premis berdekatan iaitu sebuah klinik dan kedai peralatan aluminium turut menjadi mangsa perbuatan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, kejadian itu disedari pihaknya ketika mahu membuka pusat khidmat berkenaan, kira-kira pukul 10 pagi.
Katanya, dia terkejut melihat keadaan pejabatnya di tingkat dua premis itu berselerak dan diselongkar.
“Pada waktu itu, siling pejabat didapati terbuka dan dipercayai menjadi laluan penjenayah yang masuk menerusi bumbung bangunan.
“Saya kemudian memeriksa semua barangan dan dokumen, namun, tiada yang dilaporkan hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian petang tadi.
Jelas Azmizam, kejadian pecah masuk itu dipercayai berlaku pada awal pagi selepas pusat berkenaan ditutup pukul 10.30 malam Ahad lalu.
“Saya mengesyaki individu itu mungkin mahu mencari wang atau barang berharga, namun, gagal.
“Sebuah klinik dan kedai aluminium berdekatan juga dipecah masuk, tetapi, tiada barang dilaporkan hilang,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Pandamaran sejurus kejadian itu bagi tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Siasatan menyeluruh masih dijalankan termasuk mempergiatkan usaha mengesan suspek terlibat,” katanya. -UTUSAN ONLINE