SHAH ALAM: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan bahawa ganjaran tidak akan diberikan kepada mana-mana pemberi maklumat sekiranya kes penyeludupan disahkan tidak berlaku atau tidak berjaya diselesaikan.
Hal ini menjawab kemungkinan yang berlaku terhadap nelayan yang menuntut ganjaran bernilai RM100,000 dan didakwa masih belum diterima sehingga ke hari ini.
Perkara itu dijelaskan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Penguatkuasaan dan Pematuhan, Datuk Abdul Wahabi Abdullah yang memberitahu, aduan dibuat oleh pemberi maklumat berkenaan bagaimanapun perlu disiasat terlebih dahulu apatah lagi ia melibatkan kes lama.
“Saya kena tengok dahulu, itu dakwaan pengadu, saya sekarang pun sudah minta pegawai untuk siasat semula dakwaannya sebab kadang-kadang mereka rasa sudah berikan maklumat tetapi tidak ada kes.
“Jadi, bila tiada kes, kita memang tidak berikan ganjaran. Tiada nilai spesifik bagi setiap ganjaran, tertakluk kepada budi bicara JKDM. Saya pun tak pastilah nilai yang dituntut itu berpadanan ataupun tidak, kena siasat dahulu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang pemberi maklumat merayu kepada JKDM supaya menunaikan janji untuk memberikan ganjaran lebih RM100,000 yang didakwanya masih belum dijelaskan antara 2000 hingga 2009.
Dia mendakwa berjaya memberikan maklumat kepada pihak berkuasa kastam bagi 40 hingga 60 kes dan setiap kes dijanjikan ganjaran antara RM2,000 hingga RM4,000 bagi setiap kes yang dilaporkan.
Dalam pada itu, Abdul Wahabi memaklumkan JKDM memang ada memberikan ganjaran sebagai penghargaan kepada tindakan pemberi maklumat yang tampil mendedahkan kes jenayah berkaitan dengan penyeludupan dan sebagainya.
“Memang kita ada beri ganjaran kepada pemberi maklumat, tetapi tidak diberi secara on the spot. Sebaliknya bila aduan atau maklumat diterima kita akan siasat dahulu, selesaikan kes, kemudian baharu kita beri ganjaran.
“Aduan itu kita kena siasatlah setakat mana kedudukan maklumat yang diberikan itu,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE