Batu dicampak dari jejantas lebuh raya, pemandu nyaris terbabas, cermin kereta pecah - Utusan Malaysia

Batu dicampak dari jejantas lebuh raya, pemandu nyaris terbabas, cermin kereta pecah

TANGKAP layar menunjukkan pemandu hampir terbabas apabila cermin hadapan keretanya pecah selepas dibaling ketulan batu di Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara-Selatan di Jitra, Kubang Pasu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang lelaki yang memandu sebuah kereta nyaris terbabas apabila cermin hadapan keretanya pecah setelah terkena batu yang dicampak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dari jejantas di Kilometer 32.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini semalam.

Mangsa, Mohd. Rayyan Iskandar Harraz, 22, dari Langkawi berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bersama tiga rakannya menaiki kereta jenis Perodua Myvi tersebut yang dalam perjalanan ke Perlis pada pukul 12.53 tengah hari.

“Tiba-tiba, ada beberapa ketulan batu jatuh dari sebuah jambatan di tempat kejadian dan pada awalnya kami sangkakan mungkin hanya ketulan batu yang jatuh.

“Namun, ketika kami melihat semula kamera kereta didapati ada orang yang membaling batu ke arah kereta saya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, dia kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis untuk tindakan lanjut.

Malah, katanya, dia difahamkan beberapa pemandu yang melalui kawasan tersebut juga mengalami nasib yang sama.

“Saya terpaksa menukar cermin kereta yang baharu berharga lebih RM2,000 serta membaiki bahagian lain yang terkena ketulan batu berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan memberitahu, polis mengesahkan menerima satu laporan mengenai kejadian tersebut semalam.

Menurutnya, pihak polis telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek kejadian kerana mempunyai unsur khianat.

“Polis memandang serius hal ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di talian 04-9176999,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya