PETALING JAYA: Beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai menyerbu ke ibu pejabat seorang ahli perniagaan bagi mengambil dokumen berhubung dakwaan penglibatan aktiviti pengubahan wang haram disyaki bernilai RM100 juta.
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkenaan memberitahu, pemeriksaan pejabat yang terletak di Bangsar, di sini dilakukan serentak oleh sepasukan anggota Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dua minggu lalu bagi mendapatkan dokumen kewangan membabitkan sebuah projek pembekalan alat bantuan pernafasan kepada sebuah negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Kata sumber itu, siasatan awal mendapati, projek berkenaan dipercayai telah selesai dijalankan namun masih tidak dapat dipastikan sama ada syarikat milik ahli perniagaan ini sudah menerima bayaran sepenuhnya atau tidak.
“Difahamkan, terdapat transaksi kewangan berjumlah RM100 juta disyaki telah diterima ahli perniagaan ini melalui dua negara masuk ke negara ini namun semakan masih dijalankan bagi mengetahui punca kewangan itu diperoleh memandangkan transaksi berkenaan tidak diisytiharkan.
“Penelitian dan semakan juga sedang djalankan agensi terlibat terhadap akaun-akaun yang dikaitkan dengan ahli perniagaan itu,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan syarikat yang mengendalikan rangkaian beberapa syarikat dan organisasi, telah diserbu oleh beberapa agensi penguat kuasa kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan pengelakan cukai melibatkan ratusan juta ringgit.
Ahli perniagaan melalui sebuah syarikat beralamat di Selangor itu memperoleh bahagian terbesar kontrak bernilai bilion dolar bagi membekalkan alatan perubatan di sebuah negara.
Malah, pemberian kontrak kerajaan itu disifatkan sebagai tidak telus selain turut menyebabkan lebihan bekalan alatan tersebut.
Lapor portal itu lagi, serbuan itu dipercayai dilakukan sebagai sebahagian permulaan siasatan salah satu kes pengubahan wang terbesar sejak siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tiga tahun lalu. -UTUSAN ONLINE