Sindiket seludup rokok melalui laut merebak ke perairan Terengganu - Utusan Malaysia

Sindiket seludup rokok melalui laut merebak ke perairan Terengganu

MUHAMMAD Suffi Mohd. Ramli (kanan) menunjukkan rokok putih yang dirampas di kawasan pantai berhampiran Pulau Bidong di Kuala Nerus dalam sidang akhbar di pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Kuala Terengganu, hari ini. - -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sindiket penyeludupan rokok putih melalui jalan laut kini merebak ke perairan Terengganu apabila sejumlah 330,000 batang barangan berkenaan dirampas di kawasan pantai berhampiran Pulau Bidong di Kuala Nerus, kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, rokok putih yang dianggarkan bernilai RM350,000 itu didapati sengaja ditinggalkan tanpa disusun mahu pun disorok ketika rondaan kira-kira pukul 6 petang.

Katanya, serbuan yang dilakukan itu berdasarkan risikan terdapat longgokan objek mencurigakan di pulau berkenaan.

“Ketika pemeriksaaan, kita dapati kotak-kotak rokok berjenama Manchester dibiarkan berlonggok begitu sahaja berhampiran belukar di kawasan pantai.

“Kita percaya, ada sindiket untuk menyeludup rokok dari negara jiran ke Terengganu dengan cuba menjadikan Pulau Karah di Pulau Bidong sebagai transit kerana lokasi ini tiada penempatan dan penghuni sebelum dipindahkan ke tanah besar,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Muhammad Suffi berkata, kes berkenan merupakan yang pertama direkodkan di negeri ini dan perubahan modus operandi itu dipercayai akibat kawalan ketat di jalan darat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau tidak menolak kemungkinan kegiatan itu turut didalangi rakyat tempatan.

“Saya tidak nafikan mana-mana penjenayah kini beralih kepada jalan laut kerana pelaksanaan banyak sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri,” katanya.

Menurut Muhammad Suffi, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN