RANTAU PANJANG: Sekumpulan penyeludup meninggalkan kotak mengandungi sarang burung seludup bernilai RM188,000 selepas kegiatan haram mereka dihidu anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Limau Purut, di sini kelmarin.
Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, semasa melakukan rondaan pada pukul 2.30 pagi itu, sepasukan anggota telah melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, sejurus menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki berkenaan telah bertindak membuang kotak-kotak tersebut dan kemudian melarikan diri menggunakan motosikal.
“Pemeriksaan di lokasi telah membawa kepada penemuan kotak-kotak berwarna kuning. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak itu PGA telah menjumpai 23.5 kilogram (kg) sarang burung.
“Siasatan awal mendapati, sarang-sarang burung itu diseludup masuk secara haram ke negara ini menggunakan laluan yang tidak diwartakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, permintaan tinggi pasaran sarang burung di negara ini menjadi salah satu daya penarik membawa masuk bahan mentah itu.
“Kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kelantan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 11 (1) Akta Maqis 2011,” katanya. -UTUSAN ONLINE