Kondo jadi stor heroin, syabu dari Thailand - Utusan Malaysia

Kondo jadi stor heroin, syabu dari Thailand

AYOB Khan Mydin Pitchay (tiga dari kanan) menunjukkan dadah bernilai RM1.77 juta yang dirampas di sebuah kondominium pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tangkapan empat suspek termasuk seorang wanita membawa kepada pembongkaran stor penyimpanan dadah syabu dan heroin bernilai RM1.77 juta di sebuah kondominium di kawasan Perling, Skudai semalam. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek ditahan dalam tiga operasi dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor antara 3.30 petang Rabu lalu hingga 12.15 tengah hari semalam. 

Menurut beliau, dalam serbuan pertama, polis menahan sepasang kekasih berusia 21 dan 24 tahun dan merampas dadah jenis heroin di sebuah kondominium di bandar raya ini.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis ganja, manakala hasil semakan lanjut suspek turut memiliki rekod lampau berkaitan jenayah. 

“Susulan serbuan itu, polis membuat satu lagi serbuan di unit berlainan di kondominium yang sama dan menahan dua lelaki berusia 34 dan 35 tahun serta merampas sejumlah dadah jenis heroin dan syabu.

“Hasil saringan urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. 

“Tangkapan kesemua suspek membawa kepada pembongkaran stor penyimpanan dadah di Perling. Polis kemudian merampas 34.6 kilogram (kg) syabu dan 47.5kg heroin dengan nilai keseluruhan RM1.77 juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Polis turut merampas dua buah kereta dengan nilai sitaan berjumlah RM40,000.

Ayob Khan memberitahu, modus operandi sindiket pengedaran dadah  menyewa kondominium berpagar dan berpengawal bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, pihaknya percaya rampasan dadah itu dibawa masuk dari Thailand dan boleh digunakan oleh  411,000 penagih. 

“Siasatan mendapati sindiket ini  beroperasi sejak April tahun lalu dan kesemua yang ditahan berperanan sebagai penghantar (runner) dan penjaga stor penyimpanan dadah.

“Tidak mungkin empat orang ini dapat menguruskan operasi dadah ini dan kita percaya ada yang membekal bekalan kepada mereka. Siasatan akan diteruskan bagi mengesan saki-baki sindiket tersebut,” katanya. 

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama enam hari bermula semalam hingga 15 Jun iuntuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya