Ibu, anak ditahan bersama 450 bungkus air ketum - Utusan Malaysia

Ibu, anak ditahan bersama 450 bungkus air ketum

DUA beranak yang ditahan polis kerana memiliki 450 bungkus air ketum di rumah mereka di kawasan setinggan Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ibu dan anak lelakinya ditahan kerana memiliki 450 bungkus air ketum yang disimpan dalam tiga tong ais di rumah mereka di kawasan setinggan Kampung Melayu Pandan, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, seorang wanita berusia 38 tahun ditahan bersama anaknya yang berusia 20 tahun.

Katanya, serbuan yang dibuat oleh bahagian Siasatan Jenayah Narkotik JBS turut merampas satu plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 23 kilogram (kg), dua periuk besar, sebuah tong gas dan dapur gas.

“Nilai keseluruhan rampasan air ketum sebanyak 564 liter, 23kg daun ketum serta perkakas memproses minuman itu adalah RM6,980. Siasatan masih lagi dijalankan bagi mengetahui penglibatan ibu dan anak ini dalam kegiatan menjual air ketum.

“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod lampau mendapati suspek wanita itu mempunyai lima kesalahan lampau bagi kes narkotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Jika disabit kesalahan, kedua-dua suspek boleh dipenjara tidak lebih empat tahun atau denda tidak lebih daripada RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh terus menghubungi talian hotline JBS di talian 07-2182323,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya