Nasib penyu mati dibelah perut, telurnya diambil  - Utusan Malaysia

Nasib penyu mati dibelah perut, telurnya diambil 

BANGKAI penyu Agar betina dewasa yang ditoreh pada perut dipercayai kerana aktiviti pengambilan telur oleh nelayan asing, ditemukan terapung di Pulau Kapas, Marang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seekor penyu Agar betina dewasa ditemukan mati dengan kesan torehan pada perut dipercayai dibunuh nelayan warga asing di Pulau Kapas, Marang hari ini. 

Setiausaha Persatuan Pemuliharaan Pulau Kapas, Mohd. Farith Rezza Isa berkata, bangkai haiwan bersaiz 73 sentimeter panjang itu ditemukan terapung oleh pengusaha resort pulau peranginan berkenaan pada pukul 2.50 petang.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati perut itu ditoreh manakala lehernya dikelar. 

“Kita percaya penyu ini baru dibunuh di perairan negara kerana kesemua organ dalaman masih dalam keadaan baik, malah keseluruhan bahagian badannya tidak menunjukkan kesan rekahan termasuk karapas.

“Perbincangan dengan beberapa penyelidik penyu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), tidak menolak motif pembunuhan reptilia itu mungkin disebabkan aktiviti pengambilan telur menerusi kaedah membelah perut,” katanya dalam kenyataan. 

Mohd. Farith Rezza berkata, tindakan kejam itu dipercayai dilakukan nelayan asing, namun timbul persoalan mengapakah bangkai haiwan berkenaan dibuang sedangkan beberapa bahagian lain mempunyai nilai komersial.

Katanya, kejadian terbaharu itu sekali gus mencetuskan kebimbangan kerana kegiatan mencuri telur penyu kini sudah sampai ke tahap membunuh induk. 

“Kami selaku pemegang taruh di Pulau Kapas menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan kertas siasatan wajar dibuka agar perkara ini tidak berulang.

“Pihak berkuasa juga perlu mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada semua penggerak konservasi dan menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di pantai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya