MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal tangki yang cuba lolos daripada tahanan di perairan Selat Melaka awal pagi tadi.
Kepten Maritim, Haris Fadzillah Abdullah berkata, kapal tangki MT JW Jewel sebelum ini ditahan oleh Maritim Malaysia negeri Johor atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Balau.
Bagaimanapun, katanya, kapal tersebut dikesan hilang dari kedudukannya sepatutnya.
“MT JW Jewel berjaya dikesan semula oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut, Perak sekitar pukul 9.55 malam semalam di Perairan Tanjung Tuan dan dipercayai belayar menuju ke utara.
“Bot ronda telah digerakkan ke lokasi untuk memintas dan berjaya menahan semula kapal berkenaan pada pukul 2.30 pagi, kira-kira 1.9 batu nautika dari pantai Tanjung Tuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MT JW Jewel yang didaftarkan di Vietnam ditahan pada 27 Mac lepas dalam Op Khas Jangkar Haram.
Tambah Haris Fadzillah, Master dan Ketua Jurutera kapal warga Indonesia, masing-masing berusia 47 dan 44 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Cawangan Melaka.
Jelas beliau, kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana belayar tanpa kebenaran pihak berkuasa dari posisi tahanan setelah notis penahanan dikeluarkan.
Dalam pada itu, Haris Fadzillah menyeru kepada semua komuniti maritim untuk bekerjasama dalam melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar perundangan negara terutamanya di perairan Melaka dan Negeri Sembilan. – UTUSAN