Kod bar pelik bongkar sindiket ‘Geng Habib’ - Utusan Malaysia

Kod bar pelik bongkar sindiket ‘Geng Habib’

IMRAN Abd. Rahman (dua kanan) menunjukkan slip palsu saringan Covid-19 dalam sidang akhbar tangkapan sindiket pemalsuan slip saringan Covid-19 di Bangunan AMC, KLIA, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Tindakan dua warga Pakistan mengemukakan surat pengesahan ujian Covid-19 dengan kod bar yang gagal diimbas membongkar sindiket pemalsuan dokumen itu.

Susulan kes tersebut, tujuh lelaki rakyat negara itu ditahan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam beberapa tangkapan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman berkata, kumpulan dikenali Geng Habib itu didalangi warga Pakistan dan hanya menyasarkan rakyat negara tersebut.

“Kita percaya, mereka enggan menjalani saringan Covid-19 kerana mungkin proses agak lambat dan terdesak membeli surat palsu untuk pulang ke Pakistan dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar di IPD KLIA hari ini bagi memaklumkan kejayaan menumpaskan geng itu yang dipercayai aktif sejak Ogos lalu.

Polis turut merampas lapan unit telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit komputer, satu pencetak, dua pemacu keras, dua utas gelang emas dan dua kad mesin teler automatik.

Turut disita ialah wang tunai tempatan berjumlah RM13,500 dan 12 keping surat pengesahan ujian saringan pandemik Covid-19 palsu dengan kepala surat pelbagai makmal dan klinik swasta.

Mengulas lanjut, Imran berkata, sindiket itu bergerak secara bersendirian dan siasatan setakat ini mendapati tiada penglibatan ‘orang dalam’ di makmal atau klinik swasta yang bersubahat.

“Kita sendiri sudah membuat semakan dengan pihak makmal dan klinik berkenaan yang turut mengesahkan surat dikeluarkan itu adalah palsu malah direka oleh geng ini sendiri,” katanya.

Kes pertama, ujarnya, melibatkan tangkapan dua rakyat Pakistan pada 12 tengah malam 20 Januari lalu ketika mahu pulang ke negara mereka dengan menaiki sebuah pesawat Emirates.

Pegawai perkhidmatan pelanggan syarikat penerbangan ini mencurigai surat dikemukakan mereka apabila kod bar di dokumen itu tidak menunjukkan apa-apa pun butiran keputusan ujian.

Hasil siasatan, katanya, suspek ketiga dan keempat juga warga Pakistan berusia 33 tahun pula diberkas di dua lokasi berbeza di Johor Bahru, Johor pada 22 Januari dengan bantuan polis negeri itu.

Beliau berkata, ia, disusuli penahanan suspek kelima rakyat negara itu yang berusia 27 tahun di Bandar Baru Seri Petaling dekat sini pada 25 Januari yang dipercayai dalang sindiket.

“Sebelum itu, dua lagi warga Pakistan cuba bolos di KLIA dengan taktik sama sebelum dapat ditahan pada 23 Januari dan ini menjadikan keseluruhan tujuh tangkapan dibuat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 465 dan 471 Kanun Keseksaan kerana sengaja menggunakan dokumen palsu dengan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kerana mungkin ada lagi saki baki bersembunyi dan dibimbangi melibatkan keselamatan negara ekoran wabak Covid-19 ketika ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN