KAMPAR: Kebakaran yang menyebabkan seorang wanita dan dua anaknya ditemukan mati dalam di sebuah rumah kedai di Taman Kampar Putra di sini hari ini bermotif bunuh diri.
Mangsa yang dikenal pasti ialah R. Kartiga, 35, manakala sepasang anaknya iaitu S. Shaarhveesh, 12, dan S. Harrshikka, 6.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kesimpulan tersebut susulan penemuan satu tong minyak petrol di belakang almari pakaian rumah tersebut dan kesan renjisan minyak petrol pada dinding bilik.
Menurut beliau, rakan baik mangsa juga memberitahu Kartiga sering menceritakan masalah keluarga dan perkahwinannya selain mangsa juga kemurungan sejak dua minggu lalu.
“Siasatan mendapati motif kejadian adalah bunuh diri disebabkan masalah peribadi dan keluarga yang dihadapi.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hasron Nazri berkata, kebakaran disedari orang awam yang melihat asap dari bilik sewa tersebut sebelum menghubungi pihak bomba dan polis.
“Selepas pintu bilik berjaya dipecahkan dan kebakaran dipadamkan pihak bomba menemukan ketiga-tiga mangsa terbaring tidak sedarkan diri atas katil dipercayai telah mati akibat kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Nor Rasidamayati Abd. Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.03 pagi.
Menurutnya, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kampar ke lokasi kejadian dan terpaksa memecah masuk premis di tingkat satu bangunan menggunakan kapak kerana pintu terkunci dari dalam.
“Keadaan ruang kedai berkenaan dipenuhi asap. Anggota bomba berjaya memadam kebakaran dalam tempoh tiga minit,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga mayat ditemukan di atas katil dalam keadaan terbakar 70 peratus sebelum dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis. – UTUSAN