KULAI: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh sebatang pokok di hadapan Hospital Kulai Besar, Jalan Senai Utama di sini semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Khidir Kamarudin berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10.56 malam tadi.
Menurut beiau, sembilan anggota beserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai dikejar ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Ketika bomba tiba, mangsa dikenali sebagai Abu Bakar Ahmad berusia 54 tahun didapati tersepit di tempat duduk pemandu kereta Proton Iswara berkenaan.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, pegawai perubatan kemudian melaporkan mangsa maut di lokasi sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 11.50 malam. – UTUSAN