Amah geram, tolak meja hingga cederakan anak majikan  - Utusan Malaysia

Amah geram, tolak meja hingga cederakan anak majikan 

Amah geram cederakan anak majikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Gara-gara geram dengan anak majikannya berada di ruang tamu ketika dia mengemas, seorang amah bertindak menolak meja sehingga mencederakan kanak-kanak itu dalam kejadian di Aman Perdana di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu mengalami kecederaan dan lebam di dahi kanan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisoner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pengadu iaitu ibu mangsa menerima panggilan daripada nenek mangsa memaklumkan cucunya cedera.

Menurut beliau, sejurus tiba di rumah, ibu mangsa mendapatkan penjelasan daripada amah terbabit, namun wanita berusia 23 tahun itu tidak mengaku.

“Siasatan mendapati ketika kejadian, amah terbabit berada di rumah bersama nenek dan tiga cucunya termasuk mangsa. 

“Suspek menyapu di ruang tamu dan mangsa sedang bermain di atas meja sofa ruangan tersebut sementara neneknya berada di dapur.

“Suspek menganggap mangsa mengganggu kerjanya sebelum menolak meja dengan kaki hingga kanak-kanak ini tersembam ke lantai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nurulhuda berkata, terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman tersebut dan jelas merakam perbuatan suspek.

“Oleh demikian, kita menahan suspek yang telah dua tahun bekerja dengan  ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk memberi keterangan tengah malam tadi.

“Suspek yang menerima gaji RM1,200 sebulan kini direman empat hari sehingga Isnin hadapan bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya