Sembilan ahli geng pecah rumah ditahan

Sembilan ahli geng pecah rumah ditahan

ADZLI Abu Shah (kiri) menunjukkan dua buah kereta yang dirampas daripada dua geng pecah rumah di Sungai Petani, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis berjaya menahan sembilan ahli daripada empat kumpulan penjenayah yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di daerah Kuala Muda di sini sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ahli Geng Anchui, Geng Kavi Baba, Geng Alif dan Geng Kevin ditahan dalam Op Pintu yang melibatkan beberapa serbuan berasingan bermula dari 27 Oktober hingga 2 November lalu.

Menurutnya, sembilan lelaki ahli geng terbabit yang ditahan berumur antara 25 hingga 37 tahun.

Katanya, polis juga berjaya menemui semula pelbagai jenis barangan yang dilaporkan hilang sebelum ini seperti televisyen, komputer riba, set karaoke, tong gas dan mesin pemotong rumput.

“Malah polis juga berjaya merampas dua buah kereta jenis Proton Satria dan Honda Accord yang disyaki dicuri.

“Dua buah kereta itu telah digunakan oleh ahli Geng Anchui dan Geng Kevin semasa melakukan kegiatan jenayah itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda hari ini.

Adzli memberitahu, penahanan sembilan suspek itu juga berjaya menyelesaikan sebanyak 12 kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah itu sebelum ini.

Selain itu, katanya, kesemua ahli geng jenayah yang ditahan itu memiliki rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek kini dalam tahanan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN