Warga emas didakwa rogol kanak-kanak lembam - Utusan Malaysia

Warga emas didakwa rogol kanak-kanak lembam

JAAFAR Omar diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka hari ini selepas didakwa atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lembam bulan lalu. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lembam pada bulan lalu.

Tertuduh, Jaafar Omar, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan persetubuhan terhadap mangsa berumur 11 tahun lapan bulan tanpa kerelaannya kira-kira pukul 10.30 malam di pondok keselamatan sebuah syarikat di Jalan Malim dalam daerah Melaka Tengah pada 25 September lalu.

Bagi tindakan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak sama pada waktu, tempat dan tarikh sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu juga didakwa telah memiliki telefon bimbit yang mengandungi video lucah kira-kira pukul 1.15 petang di hadapan sebuah rumah di Taman Mutiara Malim pada 27 September lalu.

Mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, dia boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh mula mengenali mangsa menerusi aplikasi WhatsApp sebelum mengajak kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu berjumpa. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim memohon agar mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan, namun sekiranya budi bicara digunakan beliau mencadangkan RM50,000 dikenakan untuk ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan.

Peguam, Fahmy Sulaiman yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan pendapatan anak guamnya hanya RM1,400 sebulan dan perlu menanggung isteri serta enam orang anak, selain menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai atau jaminan ditarik semula serta-merta.

Beliau juga menetapkan tarikh 4 November depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN