Sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Indonesia tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Indonesia tumpas

MOHAMAD Fauzi Md. Isa (tengah) pada sidang akhbar berhubung sindiket dokumen dan cap palsu di Bilik Mesyuarat Transformasi, Jabatan Imigresen Putrajaya, Putrajaya petang tadi. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia berjaya melumpuhkan satu sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Indonesia susulan serbuan di sekitar Lembah Klang, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 1.20 pagi itu, lima premis diperiksa sebelum menahan 33 orang warganegara Indonesia masing-masing 22 lelaki dan sembilan wanita.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Mohamad Fauzi Md. Isa berkata, daripada kesemua yang ditahan, empat adalah dalang sindiket berusia 25 hingga 41 tahun manakala, selebihnya adalah pelanggan yang sedang berurusan.

Beliau berkata, sindiket didapati sudah setahun beroperasi dan menyasarkan warganegara Indonesia yang ingin pulang ke negara asal.

“Sindiket mempunyai kepakaran dalam menyediakan pelbagai dokumen palsu dan cap imigresen palsu serta turut menyediakan perkhidmatan penghantaran pulang ke negara asal berbekalkan dokumen palsu berkenaan.

“Kami difahamkan lebih 500 pelanggan menggunakan perkhidmatan sindiket berkenaan sejak setahun lalu dengan caj dikenakan antara RM100 hingga RM1,500,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga mendapati sindiket turut menggunakan premis yang diserbu sebagai transit kepada pelanggannya sebelum dihantar pulang ke Indonesia.

Mohamad Fauzi berkata, serbuan berjaya merampas wang tunai berjumlah RM39,400, 18 unit cap masuk Imigresen Malaysia, 20 cap keluar Imigresen Malaysia, lima unit cap pas khas palsu, lima keping cetakan pas khas imigresen palsu serta 62 unit pelbagai cap keluar dan masuk dari Indonesia, China, Singapura dan Thailand.

Menurutnya, rampasan lain membabitkan 33 naskah pasport Indonesia, 23 naskah Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP), 36 keping Surat Keputusan Covid-19 palsu dari pelbagai hospital dan klinik swasta serta dua keping surat Kementerian Kesihatan palsu.

“Kami akan menghantar kesemua pasport Indonesia dan SPLP ke Kedutaan Indonesia bagi tujuan pengesahan ketulenan,” katanya.

Katanya, empat dalang sindiket akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 iaitu di bawah Seksyen 55D (pemalsuan atau pindaan bagi pengendorsan atau dokumen) dan Seksyen 6(1)(c) tinggal tanpa pas yang sah serta Seksyen 26A (menjalankan penyeludupan imigran).

Selain itu, 29 lagi yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 iaitu Seksyen 6(1)(C) tinggal di Malaysia tanpa pas khas dan Seksyen 15(1)(c) tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas.

Mohamad Fauzi berkata, kesemua suspek kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, sepanjang tahun ini sahaja, empat sindiket pemalsuan membabitkan warganegara asing berjaya ditumpaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN