PELABUHAN KLANG: Tindakan sebuah syarikat tempatan membawa masuk cili hijau dari India tanpa permit import sah membawa padah apabila kontena yang membawa barangan itu dirampas di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat di sini kelmarin.
Rampasan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor itu kira-kira pukul 10 pagi.
Pengarahnya, Dr. Tarmisal Alimin berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap kontena tersebut dan mendapati cili hijau yang dibawa masuk itu tidak mempunyai sebarang permit import yang sah dikeluarkan oleh MAQIS.
“Rampasan ini bagi mengawal perosak lalat buah cili (bactrocera latifrons) dan penggunaan sisa racun makhluk perosak supaya mematuhi piawaian yang ditetapkan pihaknya.
“Secara keseluruhannya, kita telah merampas 3,073 kilogram cili hijau dari India dianggarkan bernilai RM17,986.63,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, rampasan melibatkan cili dari India itu yang pertama dilakukan dan dipercayai diimport oleh syarikat tempatan untuk pasaran negara ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan penguatkuasaaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.
“Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN