PPDNHEP lupus barang rampasan lebih RM1 juta  - Utusan Malaysia

PPDNHEP lupus barang rampasan lebih RM1 juta 

MOHD. Ridzuan Ab. Ghapar (tengah) bersama pegawainya melupuskan sebanyak 109 kes barang rampasan pelbagai berjenama dengan nilai kesuluruhan RM1,007,185 dalam sidang akhbar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - FOTO/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) melupuskan sebanyak 109 kes barang rampasan berjenama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,007,185.18.

Proses pelupusan itu merupakan kali keenam untuk tempoh 10 bulan pertama tahun ini melibatkan tiga PPDNHEP iaitu pejabat negeri serta dua pejabat cawangan iaitu Timur Laut dan Seberang Perai Utara (SPU).

Pengarah PPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, antara barang rampasan yang dilupuskan termasuk kasut sukan, selipar, seluar sukan, jeans, baju T, beg tangan, jersi dan jam tangan.

Katanya, barangan lain adalah makanan, cakera padat digital (DVD) pelbagai tajuk, alat timbang, tangki fiber berkapasiti 1,000 liter serta hos paip penyambung gas.

“Proses pelupusan ini melibatkan kes-kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Untuk pengetahuan, kes-kes yang dilupuskan ini telah selesai tindakannya di semua peringkat sejak 2018,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, secara keseluruhannya, sebanyak 37,094 premis telah diperiksa antara Januari hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 543 kes rampasan telah dibuat dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM2,520,000.71.

“Sebanyak 441 kompaun juga telah dikeluarkan dalam pemeriksaan itu dengan nilai keseluruhan sebanyak RM161,550,” ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan berkaitan diminta tampil dengan menghubungi atau hadir ke mana-mana pejabat berkaitan yang terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN