JOHOR BAHRU: Sebanyak 15 saman dikeluarkan terhadap pelajar sekolah kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Didik yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Damansara Alif di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, operasi tersebut dijalankan bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang semasa pelajar pulang dari sekolah.
Katanya, dalam operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan itu telah memeriksa 45 pelajar dan 33 kenderaan.
“Op Didik diadakan bertujuan memberi pendidikan dan nasihat kepada para pelajar sekolah supaya mengambil langkah-langkah keselamatan dalam menggunakan motosikal dari rumah ke sekolah.
“Kita berharap para pelajar dapat mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan termasuklah memakai topi keledar, membawa motosikal dengan mempunyai lesen dan mematuhi had kelajuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Op Didik di sini semalam.
Mohd. Padzli berkata, operasi tersebut disambut baik pihak sekolah bagi memastikan para pelajar dapat mematuhi peraturan lalu lintas.
“Wakil polis turut membuat perjumpaan dengan guru sekolah dan membincangkan masalah berkaitan pelajar yang menggunakan kenderaan ke sekolah.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan akan melaksanakan Op Didik ini secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umumnya tentang soal keselamatan dan kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN