Lima individu dikompaun gagal patuhi SOP di PD - Utusan Malaysia

Lima individu dikompaun gagal patuhi SOP di PD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak lima kompaun telah dikeluarkan oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson terhadap individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 selepas operasi dijalankan di sekitar Lukut dan Port Dickson dari pukul 11 pagi hingga 5 petang.

“Empat kompaun telah dikeluarkan kepada individu kerana gagal mematuhi SOP dengan tidak memakai pelitup muka manakala satu kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal membekal dan memastikan pekerja memakai pelitup muka.

“Dalam operasi ini, pihak polis mendapati masih terdapat segelintir individu yang masih berdegil dan tidak patuh kepada SOP yang telah ditetapkan dan tindakan kompaun telah dibuat kepada individu-individu yang gagal mengikut norma baharu dalam tempoh PKPP ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Aidi Sham menambah, orang ramai dinasihat agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal semasa berada di premis-premis perniagaan serta mengelakkan daripada bersesak di tempat awam.

“Task Force pematuhan SOP PKPP akan mengambil tindakan secara berterusan dan agresif demi memastikan masyarakat sentiasa patuh kepada norma baharu dan ini dapat membendung wabak berbahaya Covid-19 daripada menular di dalam daerah Port Dickson. 

“Tawaran kompaun sebanyak RM1,000 setiap satu kesalahan dan hendaklah dijelaskan di Pejabat Kesihatan Port Dickson dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN