Langgar pagar rumah cuba lari dari polis - Utusan Malaysia

Langgar pagar rumah cuba lari dari polis

NOR Omar Sappi (kiri) melihat motosikal yang disita dalam operasi membanteras aktiviti samseng jalanan menerusi sekatan jalan raya di Kilometer 6 Jalan Teluk Muroh-Lumut semalam. - FOTO/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Gara-gara mahu melarikan diri dari polis, seorang lelaki cedera apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar pagar sebuah rumah di taman perumahan dekat Teluk Muroh di sini semalam.

Lelaki berusia 37 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 125 itu bertindak demikian kerana tidak memiliki lesen memandu serta tidak memakai topi keledar sebelum terserempak dengan anggota polis yang melakukan operasi samseng jalanan sekitar lokasi tersebut dari pukul 4 petang sehingga 8 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki itu yang cedera di siku kemudian ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menunggang secara gopoh, cuai dan berbahaya.

“Dalam operasi yang turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) ini, kami menyita enam motosikal dan mengeluarkan 48 saman atas pelbagai kesalahan.

“Sebahagian besar kesalahan membabitkan ubah suai kenderaan seperti nombor plat tidak ikut spesifikasi dan tiada penutup rantai,” katanya pada sidang akhbar ketika operasi berkenaan di Kilometer 6 Jalan Teluk Muroh-Lumut semalam.

Beliau berkata, operasi melibatkan lima pegawai dan 45 anggota itu dilakukan kerana lokasi berkenaan menjadi antara tempat tumpuan aktiviti samseng jalanan termasuk berlumba dan melakukan pelbagai aksi berbahaya terutama hujung minggu.

Katanya, selain jalan berkenaan, terdapat tiga lagi jalan raya yang menjadi lokasi ‘panas’ aktiviti samseng jalanan iaitu di kawasan Lekir di Jalan Teluk Intan-Lumut, kawasan dekat Honda Sitiawan di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan dan kawasan dekat Ocean Bowl di Jalan Ipoh-Lumut.

Justeru, kata Nor Omar, pihaknya akan melakukan operasi membanteras aktiviti samseng jalanan secara berterusan di daerah itu khususnya di empat lokasi tersebut.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini sehingga semalam, polis sudah melakukan 11 operasi samseng jalanan dan mengeluarkan 149 saman terhadap semua penunggang motosikal terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya