KPDNHEP Selangor lupus barangan tiruan RM2.11 juta - Utusan Malaysia

KPDNHEP Selangor lupus barangan tiruan RM2.11 juta

MUHAMAD Zikril Azan Abdullah (kanan) bersama Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad memecahkan tablet dalam majlis Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor sempena Hari Penguat kuasa Ke-48 di Klang, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barangan rampasan tiruan dianggarkan bernilai RM2.11 juta.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, barangan yang dilupuskan itu melibatkan 16 kes membabitkan peniaga di pasar malam (uptown) dan atas talian.

Menurutnya, barangan tiruan yang dirampas ini membabitkan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagang 2019 dan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

“Antara barangan yang dilupuskan ialah beg tangan, dompet, seluar jeans, tablet, alat ganti kereta yang menggunakan jenama terkemuka.

“Daripada 16 kes, tiga daripada mereka telah pun didakwa dan kesemua barangan ini dilupuskan setelah mendapat kelulusan dan perintah mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas ditemui dalam majlis Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor sempena Hari Penguat kuasa Ke-48 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril berkata, rampasan barangan yang dilakukan mencatat peningkatan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Jelasnya, peniaga menggunakan modus operandi dengan menjualnya di premis yang tidak didaftar dan sering berpindah ke satu tempat bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Bagi peniaga dalam talian pula, mereka menjalankan urus niaga dengan membawa masuk dari luar negara mahupun diperoleh dari dalam negara.

“Untuk keseluruhan rampasan bermula Januari sehingga Oktober ini, kita telah melupuskan RM3.29 juta barang tiruan melibatkan 243 kes.

“Kita memberi amaran kepada para peniaga untuk tidak terlibat menjual barangan tiruan bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya.

Tambahnya, pengguna diminta untuk tidak membeli barangan tiruan selain melaporkan kepada mana-mana cawangan KPDNHEP untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN