Dua wanita rugi RM290,000 terjerat Macau, Love Scam - Utusan Malaysia

Dua wanita rugi RM290,000 terjerat Macau, Love Scam

AIBEE ABD. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Gara-gara terjerat dengan penipuan Love dan Macau Scam, dua wanita di negeri ini mengalami kerugian melebihi RM290,000 dalam dua kejadian di Senawang dan juga Rembau.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd. Ghani berkata, bagi kes pertama, seorang kerani berusia 46 tahun telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Senawang pada 30 September lalu. 

Ia susulan wanita itu mendakwa terjerat dengan penipuan bungkusan hadiah serta dokumen yang didalangi sindiket Love Scam.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM108,500 apabila mula memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan oleh ejen penghantaran barang pada 23 September lalu bernilai RM5,000 seperti yang diminta bagi tujuan cukai.

“Terdahulu, mangsa ini telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp pada 21 September lalu pada pukul 9 malam ketika berada di rumah. Pada 23 September, mangsa diminta memasukkan wang bagi cukai bungkusan berkenaan ke atas akaun bernama Caroline Man.

“Selepas 10 minit melakukan transaksi berkenaan, mangsa sekali diminta memasukkan wang sebanyak RM18,500 ke akaun yang sama kerana terdapat wang tunai di dalam bungkusan berkenaan. Malah, ahli sindiket turut meminta mangsa memasukkan sebanyak RM75,000 lagi ke dalam akaun yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Aibee berkata, pada 25 September lalu, ahli sindiket telah meminta mangsa memasukkan sebanyak RM80,000 ke dalam satu lagi akaun lain, namun mangsa hanya memasukkan sebanyak RM10,000.

“Akhirnya, mangsa sedar menjadi mangsa penipuan dan tidak lagi memasukkan wang seperti yang diminta ahli sindiket Love Scam,” katanya. 

Bagi kes kedua pula jelasnya, ia membabitkan seorang suri rumah berusia 68 tahun di Rembau yang terjerat dengan Macau Scam bermula 29 September lalu.

“Mangsa menerima panggilan daripada seorang perempuan yang mendakwa dirinya sebagai Koperal Azizah dari Balai Polis Jalan Cambell, Seremban.

“Mangsa diberitahu kad pengenalannya telah digunakan oleh individu yang masih belum dapat dikenal pasti dalam pengedaran wang haram, dadah dan lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) di Pos Laju Seremban.

“Mangsa menafikan terlibat dalam aktiviti berkenaan dan panggilan mangsa disambungkan kepada Koperal Kamarul daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban,” katanya. 

Menurut mangsa, Koperal Kamarul telah menerangkan kepada mangsa, seorang lelaki telah menyalahgunakan kad pengenalan mangsa bagi tujuan wang haram dan memasukkan sebanyak RM2,300,000 ke dalam akaun mangsa.

“Koperal Kamarul meminta mangsa mengeluarkan wang simpanannya di dalam akaun kerana akaun berkenaan akan disiasat oleh pihak Bank Negara dan mangsa bersetuju.

“Mangsa telah membuat pindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza pada 29 September sebanyak dua kali dan sekali pada 1 Oktober dengan jumlah pemindahan sebanyak RM183,770, ” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sedar tertipu akhirnya membuat laporan polis.

“Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kami harap agar orang ramai akan lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya sekiranya didakwa menerima bungkusan hadiah dari luar negara khususnya dan juga panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai polis,” kata Aibee lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN