Cubaan nelayan Vietnam loloskan diri gagal - Utusan Malaysia

Cubaan nelayan Vietnam loloskan diri gagal

SERAMAI 15 nelayan warga Vietnam ditahan dalam Op Khas Kuda Laut di perairan Kemaman di Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Cubaan 15 nelayan Vietnam merentangkan tali pukat untuk meloloskan diri daripada dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) gagal apabila bot mereka berjaya ditahan, Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot itu ditahan dalam Op Khas Kuda Laut pada kedudukan 150 batu nautika dari Kuala Kemaman, kira-kira pukul 12.05 tengah hari.

Katanya, kehadiran bot nelayan Vietnam yang mencuri hasil laut negara itu dikesan pihaknya pada pukul 11.45 pagi.

“Semasa kapal ronda Maritim Malaysia menghampiri bot itu, mereka bertindak merentangkan tali pukat dan cuba melarikan diri dengan belayar menuju ke arah sempadan perairan Malaysia.

“Namun, ketangkasan dan kecekapan anggota kita membolehkan bot tersebut ditahan 20 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini. 

Rashidilhadi berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua nelayan berumur 24 hingga 55 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah di samping tiada kebenaran menangkap ikan di perairan negara. 

Katanya, turut dirampas ialah 13 tan ikan campur, 1,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Malaysia zon itu untuk menjalani saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1953/63. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya