Anggota polis cedera diserang warga emas guna sabit - Utusan Malaysia

Anggota polis cedera diserang warga emas guna sabit

AIDI SHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang anggota unit peronda polis (MPV) cedera di bahagian kepala setelah diserang seorang lelaki menggunakan sabit dalam kejadian di PD Waterfront dekat sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku apabila Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima panggilan orang awam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki memegang senjata disyaki sabit di tapak trak makanan parkir sebuah pasar raya di PD Waterfront kira-kira pukul 10.09 malam semalam.

Tambahnya, suspek juga telah membuat kacau ganggu di kawasan tersebut dan bertindak atas maklumat, anggota ronda Balai Polis Port Dickson dibantu anggota MPV bersama pegawai telah pergi ke tempat kejadian.

Katanya, suspek telah melarikan diri ke suatu kawasan semak di tapak kawasan lapang di tepi pasar raya dan anggota MPV telah memberhentikan kenderaan di kawasan semak tersebut dan sebaik sahaja pemandu MPV keluar dari kenderaan telah ternampak suspek berlari ke arah anggota MPV.

“Anggota MPV telah mengarahkan suspek untuk berhenti namun tidak diendahkan dan masih berlari ke arah polis dengan memegang senjata sabit. Anggota MPV telah melepaskan satu das tembakan pada jarak lima meter namun suspek masih menyerang dan untuk pertahankan diri anggota MPV telah melepaskan satu das tembakan lagi. 

“Sejurus tembakan kedua dilepaskan suspek telah menghayun sabit ke arah anggota MPV dan terkena pada bahagian kepala sebelah kiri. Kemudian telah berlaku pergelutan dan suspek berjaya ditangkap oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Aidi Sham, pihak ambulans dari Hospital Port Dickson kemudian tiba lalu membawa suspek yang berusia 61 tahun itu ke hospital manakala anggota MPV yang cedera telah diberi rawatan awal di tempat kejadian.

“Suspek kini berada di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban di bawah pemantauan wad ICU. Keadaan anggota polis yang cedera pula stabil dan akan menjalani satu lagi pembedahan pada esok.

“Kes disiasat dibawah 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya