320 bubu naga dirampas dari sampan nelayan tradisional Kelantan - Utusan Malaysia

320 bubu naga dirampas dari sampan nelayan tradisional Kelantan

NAZRI Ishak (dua dari kanan) memeriksa bubu naga yang disita di Pangkalan Perikanan Kelantan di Tawang, Bachok hari ini. - FOTO/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Jabatan Perikanan Kelantan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubur berjaya merampas 320 unit bubu naga bernilai RM49,400 menerusi Op Bersepadu di seluruh jeti pendaratan ikan di negeri ini.

Operasi selama tiga hari bermula 18 Oktober itu melibatkan melibatkan seramai 26 kakitangan jabatan itu dan anggota PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Pengarah Perikanan negeri, Nazri Ishak berkata, sepanjang tempoh berkenaan pihaknya berjaya memeriksa 420 buah bot milik nelayan tempatan. 

Menurutnya, lokasi pemeriksaan ialah di seluruh jeti dan sampan nelayan tradisional di negeri ini. 

“Bubu naga yang dirampas kini disita di Pangkalan Perikanan Kelantan di Tawang sebelum tindakan melupus peralatan menangkap ikan itu dijalankan. 

“Nelayan tradisional di negeri ini sering menggunakan peralatan ini yang boleh mengancam populasi benih ikan. Penguatkuasaan dan larangan mengunakan bubu naga berasaskan kepada Pekeliling Bilangan 5 di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pegawai Memerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubur, Asisten Superintenden Mohd. Rudzuan Ahmad. 

Menurut Nazri, bubu yang dilesenkan tidak boleh mempunyai lebih daripada dua injap setiap unit. 

Katanya, nelayan tradisional wajib mematuhi peraturan kerana penggunaan bubu tanpa lesen akan turut merugikan mereka apabila sumber ikan akan kepupusan. 

“Pada tahun 2018 sebanyak empat kes tangkapan dicatatkan dengan 139 bubu naga dirampas bernilai RM13, 900 dan pada tahun lalu sebanyak 51 kes sitaan yang melibatkan 202 unit bubu naga bernilai RM20, 200,” katanya. 

Tambahnya, pada tahun ini sehingga semalam mencatatkan 21 kes sitaan yang melibatkan 340 bubu naga dirampas dengan anggaran keseluruhan bernilai RM51, 400.

“Ini membuktikan wujudnya peningkatan penggunaan bubu naga yang memerlukan penguatkuasaan yang lebih kerap dan pemeriksaan yang berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya