3.87 tan ayam sejuk beku seludup dirampas - Utusan Malaysia

3.87 tan ayam sejuk beku seludup dirampas

BUNGKUSAN ayam sejuk beku seludup yang dirampas PGA Batalion 7 Kuantan selepas menahan sebuah lori di Jalan Lubok Jong, Pasir Mas, Rantau Pantang, Kelantan malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas ayam sejuk beku bernilai RM38,700 selepas menahan sebuah lori di Jalan Lubok Jong, Pasir Mas, dekat sini malam tadi.

Penahanan lori tersebut membawa kepada penemuan ayam sejuk beku seberat 3.87 tan yang dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen sah sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintenden Azhari Nusi berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan pemandu serta kelindan lori berusia 23 dan 34 tahun bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori yang digunakan untuk aktiviti menyeludup itu dianggarkan berjumlah RM148,700.

“Bertindak atas maklumat penyeludupan, sepasukan anggota PGA yang sedang melakukan rondaan telah mengesan sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas pada pukul 7.30 malam.

“Anggota PGA kemudian terus mengekori dan kemudian berjaya menahan lori itu di Jalan Lubok Jong, Pasir Mas. Hasil pemeriksaan di dalam lori tersebut telah menjumpai ayam beku,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Azhari memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran lori tidak sama seperti maklumat yang dikemukakan dalam dokumen.

Katanya, pemandu dan kelindan serta semua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Pasir Mas untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Hasil risikan awal, ayam sejuk beku itu dibawa masuk melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

“Ayam-ayam ini dibawa masuk tanpa membuat pengisytiharan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis),” ujarnya.

Azhari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Katanya, kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini terus diperketatkan bagi memastikan aktiviti jenayah dan penyeludup berjaya dikekang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN