KUANTAN: Semalam tular di laman media sosial khususnya Facebook tentang video sebuah Kenderaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) polis mengejar sebuah kereta di Kampung Paya Bungor, Jalan Kuantan-Maran dekat sini.
Aksi kejar mengejar tersebut berakhir dengan kemalangan apabila kereta jenis Proton Satria yang dikejar EMPV polis berkenaan terbabas dan merempuh sebuah lori jenis Volvo.
Akibatnya, tiga individu di dalam kereta iaitu Mohamad Kalro Makhtar, 32, Asraf Ramli, 23, dan Siti Nur Asyikin Mohamad Faudzi, 21, cedera di bahagian kepala dan kesemua mereka dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Pemandu lori dan EMPV serta penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu berlaku kira-kira pukul 6 petang.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, kejadian kejar mengejar bermula di Tol Seri Jaya, Maran apabila kereta Proton Satria memecut masuk ke Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur ketika dua anggota EMPV Bukit Aman sedang melakukan tugasan pemantauan di situ.
Menurutnya, Proton Satria itu kemudiannya berpatah balik melawan arus dan keluar kembali ke Tol Seri Jaya menghala ke Jalan Maran-Kuantan arah Kuantan.
“Aksi kejar mengejar sehingga ke daerah Kuantan berhampiran simpang ke Lepar Hilir. Proton Satria itu terbabas dan melanggar sebuah lori dari arah bertentangan sebelum berpusing dan terlanggar EMPV polis yang mengejarnya.
“Akibat kemalangan tersebut, tiga mangsa dalam Proton Satria mengalami kecederaan dan dibawa ke HTAA Kuantan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kamarulzaman berkata, Proton Satria dinaiki dua lelaki dan seorang perempuan itu adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Jinjang, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, siasatan diteruskan dan kes disiasat Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN