KUALA LUMPUR: Tiada arahan pembekuan cuti pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang didakwa akan berlaku dalam masa terdekat.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Rahim Jaafar berkata, setakat ini, penugasan warga PDRM berjalan seperti biasa dan tiada keperluan untuk membekukan cuti mana-mana pegawai dan anggota.
Menurut beliau, buat masa ini, pihaknya hanya membincangkan untuk menghantar pasukan bantuan dari Semenanjung bagi tujuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Namun, perkara itu juga belum diputuskan kerana kekuatan PDRM di Sabah setakat ini mencukupi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Terdahulu, khabar angin menyatakan terdapat arahan pembekuan cuti pegawai dan anggota PDRM yang dikaitkan dengan bahang PRU-15 apabila persediaan untuk menghadapinya didakwa sedang giat dijalankan.
Dalam perkembangan berasingan, Abd. Rahim memberitahu, sebanyak 34,098 permohonan diterima PDRM pada Julai lalu membabitkan pengambilan pegawai pangkat rendah.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 25,630 adalah pemohon keturunan Melayu diikuti India (1,169), Cina (260), bumiputera (5,637) dan lain-lain bangsa (1,402).
“Kebanyakan mereka yang memohon mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM).
“Permohonan penjawatan tersebut menggalakkan namun penyertaan calon berbangsa Cina masih tidak memuaskan walaupun pelbagai kempen dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN