PUTRAJAYA: Dua lelaki tempatan berumur 34 dan 53 tahun yang merupakan pemilik gudang dan pekerjanya ditahan reman selama tiga hari sebelum diikat jamin hari ini berhubung kesalahan memproses dan menjual minyak pelincir.
Hasil siasatan mendapati premis itu dijadikan tempat membuat minyak pelincir bagi kenderaan berat menggunakan jenama syarikat pengeluar minyak terkemuka seperti Transformer Oil, Compressor Oil, Truck & Heavy Duty Engine Oil, Greese dan Slideways Oils.
Pengarah Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, minyak pelincir yang digunakan lori dan treler itu kemudiannya dipasarkan oleh sindiket di sekitar Lembah Klang dengan harga antara RM185 dan RM240.
Katanya, sindiket turut menampal logo dan pelekat palsu menyerupai syarikat pengeluar minyak terkemuka tersebut bagi mengelirukan pengguna.
“Kedua-duanya dituduh di Mahkamah Sesyen Harta Intelek Shah Alam hari ini dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu memiliki secara bersama bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah dan Seksyen 101(b) akta sama iaitu memiliki artikel yang direka secara spesifik untuk membuat salinan cap dagangan berdaftar.
“Bagi pertuduhan pertama, jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjarakan maksimum 3 tahun atau kedua-duanya. Manakala bagi pertuduhan kedua, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjarakan maksimum 5 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Walau bagaimanapun, Iskandar Halim berkata, kedua-dua suspek mengaku tidak bersalah dan Hakim Rofidah Mohamad memutuskan pemilik premis itu dijamin dengan RM30,000 manakala, pekerjanya dijamin RM20,000 dan masing-masing dikenakan syarat dengan dua penjamin.
Jelasnya, kedua-dua suspek diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah dan perbicaraan akan disambung pada 20 Oktober depan.
Beliau malah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi hak pengguna dan harta intelek malah peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan ditangkap serta didakwa di mahkamah. – UTUSAN