Sepasang kekasih ditahan bersama 220 ketulan Methamphethamine bernilai setengah juta - Utusan Malaysia

Sepasang kekasih ditahan bersama 220 ketulan Methamphethamine bernilai setengah juta

GOH Boon Keng (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis Methampethamine seberat 214 kg dalam sidang media di IPD Tapah hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sepasang kekasih ditahan bersama 220 ketulan mampat dadah jenis Methamphethamine seberat 214.2 kilogram bernilai RM535,525 dalam serbuan pihak polis di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini kelmarin. 

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman kira-kira pada pukul 10.30 pagi, berjaya menahan suspek berusia 47 dan 32 tahun ketika mereka sedang berhenti di R&R tersebut dipercayai untuk berehat. 

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, kedua-dua suspek dalam perjalanan dari utara menuju ke selatan dipercayai ke Lembah Klang. 

“Pemeriksaan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex dinaiki mereka menemukan lapan guni putih yang mengandungi 220 ketulan mampat dadah jenis Methamphethamine seberat 214.2 kilogram. 

“Mereka ditahan sebelum dibawa Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tapah di sini hari ini. 

Menurut Boon Keng, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak dua bulan lalu dan menjalankan aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran Lembah Klang. 

“Dadah yang dirampas dipercayai dari negara jiran dengan nilai rampasan RM535,525 dan boleh digunakan lebih 140,000 penagih.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti anggota sindiket yang lain,” katanya. 

Menurutnya, ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methampethamine dan semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai 12 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala suspek wanita mempunyai satu rekod berkaitan dadah. 

“Kedua-dua suspek yang tiada pekerjaan tetap itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 9 September ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mandatori iaitu gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya