KUALA LUMPUR: Video tular dalam laman sosial mendakwa seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam pembunuhan kejam adalah tidak benar.
Gambar pegawai wanita berpangkat Asisten Superintenden dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu telah disalah gunakan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan itu pegawai wanita berkenaan telah membuat satu laporan polis di Shah Alam.
“Kejadian itu tidak benar dan pegawai itu sudah pun membuat laporan berkenaan perkara tersebut.
“Semakan kita juga mendapati pembunuhan kejam itu berlaku di Brazil, bukan di sini Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mior, siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, rakaman video seorang wanita diikat tangan serta kakinya dan dibunuh secara kejam menjadi tular dalam media sosial.
Turut tular adalah gambar pegawai wanita berkenaan, kononnya pegawai itu adalah mangsa kejadian bunuh. – UTUSAN