Penguat kuasa MBJB tangkap peragut - Utusan Malaysia

Penguat kuasa MBJB tangkap peragut

PERAGUT yang ditangkap penguat kuasa MBJB dan orang awam selepas meragut beg tangan seorang wanita ketika berjalan kaki melintas jalan di Taman Mount Austin, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan pantas seorang penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan orang awam berjaya menahan seorang peragut dalam satu kejadian di Taman Mount Austin di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 12.45 tengah hari. 

“Dalam kejadian itu, peragut yang menaiki sebuah motosikal meragut beg tangan seorang wanita berusia 30 tahun ketika berjalan kaki melintas jalan. 

“Mangsa yang ketakutan menjerit meminta bantuan sebelum disedari seorang penguat kuasa MBJB dan orang awam yang berusaha menahan suspek daripada melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd. Padzli, dalam kejadian itu, suspek yang berusia 32 tahun mengalami kecederaan luka calar di lengan kiri. 

“Suspek yang ditahan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala motosikal berserta helmet milik suspek dirampas. 

“Polis mengucapkan tahniah dan syabas kepada penguat kuasa MBJB dan orang awam atas keberanian dan tindakan pantas mereka yang berjaya menggagalkan jenayah ragut tersebut,” ujarnya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN