JOHOR BAHRU: Seorang pemandu e-hailing wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini di atas 40 pertuduhan melakukan penipuan jual beli hartanah melibatkan jumlah RM2.4 juta.
Tertuduh, Noridah Abdul Aziz, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.
Mengikut pertuduhan, Noridah bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menipu seorang pemilik kedai motosikal berhubung urusan jual beli sebidang tanah di Forest City, Iskandar Puteri.
Tertuduh didakwa mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM2.483 juta ke dalam akaun sebuah bank tempatan menerusi beberapa transaksi sekitar bandar raya ini antara Mac hingga Julai tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun berserta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 setiap pertuduhan atau jumlah keseluruhan RM200,000 dengan seorang penjamin
Salini turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediamannya sebulan sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN