MACHANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan sebanyak 1,042 notis bagi pelbagai kesalahan sepanjang Op Khas Lebih Muatan bermula 7 September 2020 dan berakhir semalam.
Ketua Pengarah JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sasaran utama operasi kali ini adalah kenderaan perdagangan khususnya lori Tipper Dumper yang membawa barangan melebihi muatan yang dihadkan.
Menurutnya, seramai 61 anggota terlibat dalam operasi kali ini dan sebanyak 1,009 kenderaan perdagangan serta 1,319 buah kenderaan persendirian telah diperiksa.
“Bagi kenderaan perdagangan yang diperiksa, sebanyak 850 kesalahan dikesan yang mana kesalahan lebih muatan sebanyak 121, muatan bahaya sebanyak 56 dan lain-lain kesalahan sebanyak 491.
“Jumlah keseluruhan yang diambil tindakan adalah sebanyak 623 buah kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasaan JPJ Labok di sini hari ini.
Notis-notis bagi kesalahan lebih muatan dikeluarkan mengikut Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Kaedah Pembuatan dan Pembinaan 1959.
Jelasnya lagi, faktor utama kesalahan melebihi muatan ini adalah disebabkan keghairahan sesetengah pihak yang mengejar trip perjalanan bagi menjimatkan masa dan kos sehingga mengabaikan peraturan yang ditetapkan.
Hanif dalam pada itu turut mendedahkan sebanyak RM561,623 kompaun berjaya dikutip JPJ Kelantan dalam program Diskaun Pengurangan Kompaun yang diperkenalkan bermula 1 Ogos baru-baru ini.
“Tempoh Diskaun Pengurangan Kompaun ini sepatutnya berakhir 30 Ogos 2020 namun telah dilanjutkan sehingga hujung bulan September ini,” katanya. – UTUSAN