IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan yang dibuat oleh Putra hari ini mengenai surat layang yang mendakwa berlaku skandal tanah di negeri ini.
Menurutnya, ini adalah bertepatan dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri yang sentiasa menekankan kepada kedaulatan undang-undang.
“Saya mengambil maklum tentang laporan yang telah dibuat oleh Datuk Hamidah Osman bagi pihak Putra kepada SPRM pagi tadi, berhubung beberapa dakwaan yang terkandung dalam surat layang yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.
“Saya secara peribadi sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM dalam menjalankan siasatan ke atas laporan tersebut.
“Ini adalah bertepatan dengan prinsip pentadbiran kerajaan negeri Perak yang sentiasa menekankan kepada kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Naib Presiden Putra, Hamidah membuat laporan hari ini agar SPRM menyiasat dakwaan yang terkandung dalam satu surat terbuka yang tular kononnya berlaku salah guna kuasa berhubung kelulusan tanah oleh pemimpin kerajaan negeri.
Menurutnya, wujud asas kukuh untuk SPRM menyiasat kandung surat berkenaan yang mendakwa kelulusan tanah diberikan kepada individu yang rapat dengan pemimpin tertentu dan pemimpin parti.
Katanya, difahamkan beribu hektar tanah diluluskan kononnya untuk pembangunan ladang namun ia sebenarnya untuk mengambil balak di kawasan yang terlibat. – UTUSAN