Lima sekawan termasuk anggota tentera ditahan tidak sempat edar dadah - Utusan Malaysia

Lima sekawan termasuk anggota tentera ditahan tidak sempat edar dadah

ABDUL Latiff Abdul Rahman (tengah) menunjukkan dadah mampat yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam hari ini. - UTUSAN/SAIRIEN NAFIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Satu sindiket dadah yang didalangi lima sekawan termasuk salah seorang merupakan anggota tentera berpangkat koperal yang aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak enam bulan lalu tidak bertahan lama apabila kesemua mereka ditahan di kawasan tempat letak sebuah pasar raya di Kelana Jaya Khamis lalu.

Kesemua mereka berusia 24 hingga 32 tahun termasuk anggota tentera telah berkhidmat selama 14 tahun di sebuah kem tentera di Selangor itu ditahan pukul 4.30 petang ketika cuba mengagihkan dadah jenis ganja.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Superintendan Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, tangkapan itu hasil risikan dan pemerhatian pihaknya terhadap sindiket penjualan ganja tersebut yang dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, ketika ditahan, dua daripada suspek sedang melihat bungkusan ganja yang disimpan dalam dua buah kotak paip penghawa dingin di dalam kereta jenis Perodua Myvi.

“Mereka dipercayai ingin menyerahkan dadah ini kepada tiga individu lain yang berada di dalam sebuah kereta jenis yang sama.

“Ketika serbuan, salah seorang daripada mereka cuba melarikan diri namun gagal. Hasil pemeriksaan menemukan 30 ketulan mampat ganja yang dianggarkan bernilai RM75,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Abdul Latiff berkata, hasil siasatan awal mendapati dadah tersebut diperoleh dari sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang. 

“Pemeriksaan air kencing mendapati tiga daripada mereka  positif dadah jenis Amfetamin dan Methamphetamine termasuk seorang ejen penjual kereta yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah. 

“Manakala dua lagi termasuk anggota tentera itu didapati negatif dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau ,” ujarnya. 

Tambahnya, kesemua 30 ganja yang dirampas boleh digunakan untuk 60,000 penagih sehari dengan penggunaan 0.5 gram seorang yang dijual pada harga RM10.

“Berdasarkan nilai pasaran sekilo ganja boleh dijual pada harga RM2,500. 

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 28 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya