KULIM: Seorang lelaki tidak serik menjalankan kegiatan menjual air ketum walaupun pernah ditahan dan didenda beberapa kali sebelum ini apabila diberkas sekali lagi dalam operasi polis di Padang Serai, di sini semalam.
Lelaki berusia 25 tahun itu mempunyai lima rekod kesalahan menjual air ketum sejak 2016 dan terbaharu dua minggu lepas.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azhar Hashim berkata, lelaki terbabit ditahan bersama rakannya berusia 24 tahun di sebuah stor di Jalan Sidam Kanan, Padang Serai kira-kira pukul 4.45 petang.
Berdasarkan maklumat, katanya, sepasukan anggota polis melakukan serbuan di sebuah stor dan menahan dua lelaki yang berada di dalamnya.
“Polis menemukan satu tong yang mengandungi 80 bungkusan plastik lut sinar mengandungi air ketum.
“Kita turut menjumpai periuk besar yang mengandungi daun ketum dilengkapi dapur dan tong gas di stor tersebut,” katanya di sini hari ini.
Azhar berkata, polis percaya stor tersebut dijadikan sebagai tempat untuk memproses air ketum sebelum dipasarkan di sekitar Padang Serai.
Tambahnya, dua suspek terbabit bersama barang rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kulim untuk siasatan pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE