JOHOR BAHRU: Tindakan seorang anggota polis berpangkat lans koperal meminta wang RM100 daripada pemandu lori atas kesalahan jalan raya mengundang padah apabila dia ditahan kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota polis yang berusia 32 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan selepas pemandu lori terbabit membuat satu laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, pemandu lori tersebut ditahan ketika sekatan jalan raya dilakukan polis pada pukul 9 malam di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di Kem Pulada di sini.
“Lans Koperal tersebut merupakan anggota daripada IPD Seri Alam yang bertugas sekatan jalan raya dekat Kem Pulada.
“Anggota polis terbabit disyaki meminta wang RM100 daripada pemandu lori tetapi pemandu lori buat laporan dan susulan itu kita buat tangkapan ke atas suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini semalam.
Ayob Khan berkata, anggota terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.
“Kalau ada kes melibatkan rasuah dalam kalangan anggota saya, yang pasti kita minta Ketua JSJ buka kertas siasatan kita akan tangkap, kita akan tuduh, tiada lagi siasatan dalaman,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata, Polis Johor masih lagi mengesan dua anggota polis yang gagal hadir ke Mahkamah Seksyen Kota Tinggi atas pertuduhan membantu ahli sindiket jenayah terancang Geng Otong.
Jelasnya, waran tangkap sudah keluarkan dan sehingga kini mereka belum tampil menyerah diri.
“Kita akan siarkan butir-butir (keterangan) dan gambar mereka, ini pun keras kepala, sudah keluar waran tak nak datang.
“Kita akan keluarkan dua anggota polis dikehendaki (wanted list). Itu pilihan yang ada, mereka tidak boleh lari ke mana,” katanya. – UTUSAN