KPDNHEP Dungun rampas 1,224 pakaian tiruan - Utusan Malaysia

KPDNHEP Dungun rampas 1,224 pakaian tiruan

SEORANG pegawai penguat kuasa KPDNHEP Dungun memeriksa pakaian berjenama tiruan dalam Op Jeriji yang dijalankan di tiga premis di daerah itu hari ini. - IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dungun merampas sebanyak 1,224 helai pakaian berjenama tiruan bernilai RM30,230 di tiga premis perniagaan berbeza di sini hari ini.

Ketuanya, Muhammad Khairuddin Ali @ Abdul Aziz berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 8.15 pagi itu pihaknya turut menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 30 hingga 35 tahun yang disyaki menjual pakaian tiruan tersebut. 

Katanya, Op Jeriji yang dijalankan itu turut disertai wakil pemilik cap dagang berdaftar.

“Operasi ini dibuat susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki pakaian berkenaan adalah tiruan. 

“Kita berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika dan ingin mendapatkan keuntungan dengan cara  mudah sehingga mengabaikan kepentingan pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Antara jenama pakaian itu ialah Nike dan Adidas. 

Menurut Muhammad Khairuddin, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) akta sama. 

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. 

Ujarnya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. 

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran dan tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya