KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana berlabuh tanpa kebenaran di Tanjung Siang semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kapal tersebut ditahan pada kedudukan lebih kurang 12.5 batu nautika timur perairan tersebut.
Katanya lagi, kapal itu dikendalikan seorang nakhoda dan enam kru warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 50 tahun.
“Kapal itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) OPS 1952 kerana berlabuh, tunggu tanpa kebenaran Pengarah Laut.
“Jika disabitkan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000.
“Kesemua mereka ditahan, manakala nakhoda dan seorang kru dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Zulfadli berkata, pihaknya memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di Johor Timur.
Katanya, pihaknya juga akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Justeru, pemilik kapal diingatkan supaya memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh atau menjalankan apa-apa aktiviti di luar had pelabuhan,” katanya. – UTUSAN