ALOR SETAR: Seorang wanita berstatus isteri orang ditangkap khalwat bersama seorang duda yang juga jirannya di sebuah flat di Jalan Langgar di sini kelmarin.
Perbuatan maksiat mereka terbongkar apabila wanita terbabit sering dilihat mencuri masuk ke rumah jirannya itu.
Susulan aduan orang ramai, sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menyerbu rumah tersebut kira-kira pukul 10.30 malam dan mendapati terdapat pasangan wanita dan lelaki masing-masing berusia 43 tahun sedang berdua-duaan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, soal siasat mendapati lelaki dan wanita terbabit gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri.
“Hasil siasatan juga mendapati wanita itu mempunyai dua orang anak yang ditinggalkan di rumahnya ketika dia menyelinap ke rumah jiran.
“Wanita terbabit juga menyatakan dia sedang menghadapi masalah rumah tangga dan berpindah ke kawasan flat tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Mereka dibebaskan setelah diambil keterangan sebelum kes dibawa ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN