Isteri orang, duda dicekup berkhalwat - Utusan Malaysia

Isteri orang, duda dicekup berkhalwat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang wanita berstatus isteri orang memberi alasan mahu mengadu masalah rumah tangganya kepada seorang duda sebelum mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Padang Serai di sini awal pagi tadi.

Wanita berusia 36 tahun dan lelaki berusia 51 tahun itu ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim kira-kira pukul 1.54 pagi.

Ketua Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim, Azwan Azman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung perbuatan terkutuk oleh pasangan tersebut daripada orang awam. 

Katanya, empat penguat kuasa pejabat agama kemudian melakukan pemeriksaan ke atas rumah tersebut.

“Penguat kuasa bertindak mengetuk pintu sebelum seorang lelaki membuka pintu dan hasil pemeriksaan menemui seorang wanita sedang bersembunyi di belakang pintu bilik utama rumah,” katanya di sini semalam.

Azwan berkata, pasangan terbabit gagal menunjukkan sebarang hubungan mahram atau suami isteri sehingga menimbulkan syak mereka melakukan maksiat di rumah berkenaan.

“Hasil soal siasat, wanita itu memberitahu dia mempunyai masalah rumah tangga dan duda terbabit banyak membantunya daripada segi kewangan selain menjadi tempat untuk meluahkan perasaan,” ujarnya.

Katanya lagi, duda tersebut didapati tinggal bersama anak lelakinya berusia belasan tahun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) lembam manakala wanita itu tidak mempunyai anak.

“Lelaki bekerja sebagai pemandu van manakala wanita bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Pulau Pinang,” jelasnya.

Tambahnya, pasangan terbabit kemudian dijamin oleh ahli keluarga masing-masing dan kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya