Inspektor didakwa pecah amanah harta rampasan - Utusan Malaysia

Inspektor didakwa pecah amanah harta rampasan

SAHROL Zaman Mohd. Adom didakwa pecah amanah berkaitan harta rampasan berupa wang tunai sebanyak RM190,721 di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - GAMBAR ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang tunai sebanyak RM190,721 enam tahun lalu. 

Tertuduh, Sahrol Zaman Mohd. Adom, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir. 

Mengikut pertuduhan, Sahrol Zaman didakwa melakukan pecah amanah berkaitan harta rampasan berupa wang tunai sebanyak RM190,721 di pejabat stor barang kes, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada 11 April 2014. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhamad Aizat Fakri. 

Nur Farhana mencadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh. 

Bagaimanapun Muhamad Aizat memohon mahkamah membenarkan jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh menyara isteri dan sepasang anak kembar berusia 12 tahun. 

Mohd. Fauzi kemudian menetapkan wang jaminan RM8,000 terhadap tertuduh dengan syarat tambahan dia perlu melaporkan diri pada setiap 1 hari bulan di balai polis berhampiran. 

Mahkamah menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Pada 27 Februari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di sama atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,000 enam tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN