BUTTERWORTH: Seorang lelaki tergamak melibas dan menetak ibunya sendiri dengan sebilah pisau pemotong daging hanya kerana berang ditegur tidak menutup lampu bilik.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi semalam di rumah flat keluarga berkenaan di Mak Mandin di sini.
Suri rumah berusia 67 tahun berkenaan mengalami luka sepanjang 10 sentimeter (cm) pada kepala dan 8cm pada lengan akibat perbuatan anaknya yang berusia 42 tahun yang juga merupakan seorang penagih dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku selepas mangsa menyuruh suspek menutup lampu apabila menyedari lampu bilik anaknya itu terbuka ketika dia sedang mengemas rumah.
Bagaimanapun, katanya, ketika menyambung mengemas rumah, suspek tiba-tiba masuk ke dapur dan mengambil sebilah pisau pemotong daging dan melibas-libas ke arah mangsa sehingga terkena lengan selain turut menetak kepalanya.
“Suspek yang tinggal berdua dengan ibunya itu kemudiannya bertindak menghalau ibunya keluar dari rumah tersebut.
“Mangsa telah pergi berlindung di rumah jirannya sebelum ambulans tiba dan dia dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk lima berkaitan dadah itu kemudiannya ditahan polis di rumah tersebut.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dab kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN