SEREMBAN: Dua lelaki ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Bandar Seremban Selatan, semalam.
Kedua-dua mereka masing-masing berumur 20 dan 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban yang membuat pemerhatian aktiviti samseng jalanan di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, semasa pemerhatian dijalankan mendapati dua lelaki menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 secara berasingan telah membuat aksi ‘wheely’ dengan mengangkat tayar hadapan di Jalan BSS 2.
“Ia dilakukan beberapa kali serta aksi tersebut berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Anggota pemerhati telah mendekati suspek dan berjaya membuat tangkapan dan seterusnya dibawa balik ke Balai Trafik IPD Seremban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tujuan permohonan reman dan siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Said, dalam operasi yang dijalankan sehingga pukul 10 malam itu, sebanyak 16 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan sebanyak empat buah motosikal telah disita. – UTUSAN