KOTA BHARU: Seorang lelaki berpangkat Datuk dan penyanyi program realiti televisyen antara yang ditahan dalam operasi Op Noda Khas Bersepadu di pusat karaoke tanpa lesen dalam sebuah restoran di Tanjong Chat dekat sini malam tadi.
Operasi itu melibatkan anggota polis dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan yang diketuai Inspektor Muhammad Farid Abu Othman.
Selain polis, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) turut terlibat dalam operasi tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, selain mereka, operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11.20 malam itu turut menahan 23 individu lain.
“Seramai 11 lelaki dan 12 perempuan Melayu dalam lingkungan usia 30 hingga 65 tahun berada di dalam bilik tersebut dipercayai menyertai pertandingan lagu karaoke.
“Semasa operasi, kami mendapati mereka menganjurkan jamuan sempena Hari Merdeka selain pertandingan karaoke tanpa lesen. Penganjuran majlis itu juga tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.
Tambahnya, antara hadiah karaoke yang ditawarkan berupa hamper mengikut kategori yang dipertandingkan iaitu ratu gedik, ratu dangdut, vokal terbaik, persembahan terbaik dan pakaian tercantik.
Katanya, pihak polis turut menahan seorang lelaki berusia 60-an dipercayai penjaga premis terbabit untuk membantu siasatan.
“Kita telah merampas 18 jenis peralatan karaoke dan mereka ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut.
“Kesemua mereka dikompaun mengikut Peraturan 10 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah peraturan 11(1) di bawah peraturan yang sama,” ujarnya.
Sementara itu, seramai lima individu daripadanya dikenakan saman oleh JAHEAIK kerana berpakaian menjolok mata.
Kesalahan yang melakukan perbuatan tidak sopan itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN